Puak antivaksin, suntik mereka ketika tidur – Presiden Filipina

SEJAK COVID-19 melanda dunia pelbagai reaksi masyarakat terhadap wabak itu malah ada juga yang berpendirian ianya merupakan satu konspirasi dunia.

Bukan setakat itu, bahkan kemunculan puak antivaksin juga tidak kurang hebatnya dalam menyebarkan beberapa perkara karut terhadap vaksin COVID-19.

Usaha untuk meyakinkan kumpulan itu dilihat sebagai satu perkara yang mencabar ketika negara sedang berusaha menggalakkan orang ramai mengambil vaksin namun wujud pula pihak sebegini yang bertindak menakut-nakutkan orang ramai.

Lain pula kisahnya di Filipina apabila Presidennya, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan sikap tegas dan kenyataan kontroversi itu mencadangkan agar puak antivaksin ini disuntik sewaktu mereka sedang tidur.

“Saya faham masih ramai yang tidur mahu menerima suntikan vaksin. Itulah punca sebenar. Adalah lebih baik sekiranya dapat suntik mereka di rumah ketika tidur. Lebih mudah” katanya kepada media antarabangsa.

Selain daripada suntikan vaksin, beliau juga turut menekankan penjagaan kendiri dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Lebih menakutkan, Duterte juga sebelum ini pernah mengarahkan pihak berkuasa agar menembak mati mereka yang didapati melanggar perintah berkurung.

Arahan sama dikeluarkan beliau terhadap isu dadah di Filipina.

Tampil dengan kenyataan bengis, Duterte pernah menyatakan untuk memberikan suntikan vaksin babi terhadap mereka yang enggan menerima vaksin.

Setakat ini, Filipina sudah menyuntik lebih 50 juta dos vaksin COVID-19 dan mensasarkan suntikan buat rakyatnya mencapai 70 juta dos menjelang akhir tahun ini.