Penyanyi Kumpulan Astro, Moon Bin Ditemui Meninggal Di Rumah

SEORANG anggota kumpulan K-Pop popular Astro dari Korea Selatan, Moonbin dilaporkan meninggal di kediamannya di daerah Gangnam, Seoul pada Rabu.

Memetik laporan Sinar Harian, mayat penyanyi dan pelakon ternama berusia 25 tahun itu ditemukan oleh pengurusnya pada sekitar pukul 6.10 petang.

Menurut jurucakap polis Gangnam Seoul, sebaik melihat Moonbin yang terbaring kaku, pengurusnya segera menghubungi polis.

“Kelihatan seperti Moonbin mengambil nyawanya sendiri. Kami sedang membincangkan mengenai kemungkinan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” kata jurucakap polis itu lagi.

Dalam perkembangan sama, agensi pengurusan Korea Selatan yang mewakili kumpulan Astro, Fantagio mengesahkan kematian Moonbin serta memberitahu penyanyi itu “kini menjadi bintang di langit.”

“Walaupun tidak dapat dibandingkan dengan kesedihan yang dilalui keluarga yang terpaksa berpisah dengan anak dan adik kesayangan mereka, kesemua artis dan kakitangan di Fantagio yang telah bersama-sama dengannya untuk tempoh masa yang lama juga sedang berkabung serta sangat terkejut dengan pemergiannya,” kata agensi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam masa sama, agensi tersebut meminta peminat-peminat “untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau dakwaan yang berniat jahat.”

Kumpulan Astro | Gambar : Allkpop

Moonbin atau nama sebenrnya Moon Bin yang dilahirkan di Cheongju, wilayah Chungbuk memulakan kerjaya seninya sebagai model kanak-kanak pada tahun 2004.

Dalam bidang seni suara pula, mendiang Moonbin ditampilkan sebagai salah seorang daripada enam orang anggota kumpulan Astro pada tahun 2016.

Sumber & Gambar : Sinar Harian