“Pengantin lelaki bod*h sangat!”- Wanita batalkan perkahwinan sebab bakal suami tak hafal sifir dua

MESTI ramai tidak pernah terfikir bahawa ada juga pasangan yang perlu mengambil ujian matematik pada hari perkahwinan mereka.

Lain bagi seorang bakal pengantin lelaki ini, dia dipaksa melakukan hal sedemikian sebaik sahaja tiba di rumah pengantin perempuan.

Menurut laporan Tribune India, kejadian itu berlaku di Mahoba, India dan pengantin perempuan langsung membatalkan majlis perkahwinannya setelah pengantin lelaki tersebut didapati gagal menghafal sifir dua.

Memetik laporan itu, pengantin lelaki berkenaan telah tiba di dewan perkahwinan bersama ‘baraat‘ atau rombongan pihak lelaki.

Namun, pengantin perempuan yang tiba-tiba ragu dengan kelayakan akademik bakal suami, meminta pengantin lelaki menyebut sifir dua sebelum kalungan bunga dapat ditukarkan. Pertukaran kalungan bunga adalah tanda bermulanya upacara perkahwinan.

Sebelum ini, pengantin perempuan mengesyaki keluarga pihak lelaki telah menipu berkenaan tahap pendidikan pengantin lelaki. Selepas pengantin lelaki gagal dalam ujiannya, pengantin perempuan terus bangun dan meninggalkan dewan perkahwinan tersebut, lapor Times Now News.

Media tempatan melaporkan ada ahli keluarga pengantin perempuan cuba memujuknya, akan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia bertegas tidak akan mengahwini lelaki yang tidak tahu asas matematik.

“Keluarga pengantin lelaki tidak memberitahu kami dengan tepat tentang mengenai tahap pendidikannya. Mungkin juga dia tidak pernah ke sekolah,” kata sepupu pengantin perempuan kepada Tribune India.

Selain itu, perkahwinan tersebut juga difahamkan telah diatur oleh kedua-dua keluarga dan bukan atas permintaan pengantin perempuan mahupun pengantin lelaki. Selepas insiden berkenaan, kedua-dua keluarga mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk memulangkan segala hadiah perkahwinan.