Meninggal ketika majlis perkahwinan, adik jadi pengganti

SEORANG pengantin perempuan disahkan meninggal dunia ketika majlis perkahwinannya dan adik kepada perempuan tersebut menjadi pengganti bagi meneruskan majlis.

Kejadian dilaporkan berlaku di Uttar Pradesh, India apabila seorang pengantin perempuan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melangsungkan perkahwinan.

Tengah: Surabhi. Dalam bulatan: adik Surabhi

Pengantin perempuan, Surabhi tidak sedarkan diri sebelum menghembuskan nafas yang terakhir semasa upacara perkahwinan berlangsung dan mayatnya diletakkan di dalam sebuah bilik. Jadi, bagi meneruskan majlis, suaminya pula berkahwin dengan adiknya sebagai ganti.

Bapa saudaranya yang mewakili mendiang bernama Ajab Singh berkata, “Saya sedih dengan pemergian Surabhi dan mengahwinkan suami Surabhi dengan adiknya sebagai pengganti merupakan satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat”.

“…Seorang anak perempuan kami sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi melangsungkan perkahwinan. Situasi ini amat sukar”, jelasnya lagi.

Abang kepada mendiang, Saurabh, menyatakan keluarganya mulai panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas adiknya rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

“Selepas Surabhi disahkah meninggal dunia, kami buntu sehinggalah kedua-dua keluarga bersetuju untuk menggantikan tempatnya dengan adik kami, Nisha”, Saurabh berkata.

Sumber: Utusan