Rakam laki bini gaduh, akhirnya cetus pergaduhan

GARA-GARA merakam pertengkaran pasangan suami isteri, insiden pergaduhan tercetus melibatkan sekumpulan lelaki di PPR Batu Muda, Sentul pada jam 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lain berkata, seramai 14 individu telah ditahan dalam pergaduhan terbabit.

“Kesemua tangkapan melibatkan suspek berusia 20 hingga 54 tahun dan ada antara mereka yang mempunyai rekod jenayah.

“Suami kepada pasangan tersebut telah membuat teguran namun berakhir dengan pergaduhan sehingga keluar kata-kata kesat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, empat suspek telah direman selama sehari manakala selebihnya direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

Visual kejadian tersebut turut tular di media sosial yang menyaksikan beberapa kekecohan di salah satu unit kediaman.

Ini termasuk tindakan beberapa individu yang memecahkan cermin rumah sebelum perkara itu dikawal setelah kehadiran pihak polis.