“Saya perlu lebih kreatif…” – Siti Nordiana dedah pendapatan terjejas dek PKP

PENYANYI dan pelakon popular, Siti Nordiana mengakui turut mengalami pendapatan terjejas sebanyak 60 peratus sejak penularan Covid-19, awal tahun lalu.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 37, berkata walaupun tidak ada jemputan ke majlis bagi memastikan penularan Covid 19 tidak berlaku, dia tidak mengeluh malah cuba mencari inisiatif lain secara kreatif untuk menampung kelangsungan hidup.

“Adalah dalam lebih kurang 60 peratus pendapatan saya terjejas sejak PKP dilaksanakan. Nana kena kreatif sikitlah bila kita dah tak ada show di luar, jadi kena buat show sendiri di rumah media sosial”, kata Nana pada sidang media secara virtual semalam.

Jelasnya, “Ini supaya orang akan sentiasa mengingati kita dan tidak adalah saya nampak senyap sahaja semasa lockdown ini…”.

Pelantun lagu Angkara itu juga bercerita bahawa selain menjual CD nyanyian, beliau juga ada membuat cover lagu di Youtube, menjual tudung sebagai mengisi masa lapang sewaktu tempoh PKP ini.

Ditanya mengenai pengambilan vaksin Covid-19, Nana berkata, setakat ini pendaftaran permohonannya masih tidak berjaya lagi dan dia akan terus berusaha hingga mendapat rezeki untuk divaksinasi.

“Kepada anda semua yang permohonan vaksin sudah berjaya, ambillah peluang itu. Anda sudah ada rezeki, manakala orang lain masih ramai yang terpaksa menunggu giliran. Janganlah tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan.

“Untuk saya sendiri, memang nak divaksin segera. Tapi, sayang permohonan pendaftaran tidak berjaya. Kalau saya dapat peluang itu (divaksin) pasti takkan dilepaskan kerana untuk perlindungan kesihatan dan keselamatan diri. Lagipun ia diberi secara percuma oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan Nana, beliau menjelaskan bahawa dalam masa terdekat ini ada beberapa lagu baru yang bakal dilancarkan dan salah satunya duet bersama salah seorang penyanyi rap wanita.

Selain itu, Nana juga akan muncul dengan drama terbaru bersama Alif Satar dan dalam beberapa rancangan televisyen tahun ini juga.