McGregor Dituduh ‘Mencium Secara Agresif’ Terhadap Seorang Wanita

BINTANG seni bela diri campuran (MMA) Ireland, Conor McGregor dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di Final NBA di Miami minggu lalu.

ESPN dan TMZ Sports memetik surat daripada peguam wanita itu yang mengatakan McGregor ‘secara ganas’ menyerangnya di dalam bilik mandi di Pusat Kaseya semasa kekalahan Miami Heat kepada Denver.

Bintang UFC berusia 34 tahun itu didakwa ‘mencium secara agresif’ pengadu sebelum cuba memaksanya melakukan pelbagai aksi seks.

McGregor menafikan dakwaan itu dalam satu kenyataan yang dihantar melalui emel kepada AFP oleh peguamnya, Barbara Llanes.

“Dakwaan itu palsu. McGregor tidak akan gentar,” kata Llanes dalam kenyataan itu.

Polis di Miami sementara itu hanya akan mengesahkan bahawa unit khasnya sedang menyiasat laporan yang difailkan.

“Ini adalah siasatan terbuka jadi tiada maklumat tambahan boleh dikeluarkan pada masa ini,” kata kenyataan Polis Miami kepada AFP tanpa menyebut nama McGregor.

Sumber gambar – The Hollywood Reporter | Sumber laporan – Harian Metro