Bakal pengantin batal kahwin, beri ‘peluang’ kepada bapa dan bakal ibu mentua

SATU pasangan bakal pengantin terpaksa membatalkan hasrat untuk berkahwin selepas mengetahui bapa dan bakal ibu mentuanya menjalinkan hubungan cinta.

Menurut laporan The Times of India, pasangan itu sudah pun merancang untuk berkahwin sejak setahun lalu.

Namun tanpa disedari, bapa pengantin lelaki itu telah menjalinkan hubungan dengan ibu bakal isterinya.

Segala persiapan perkahwinan juga sudah dibuat untuk majlis perkahwinan mereka namun terpaksa dibatalkan secara mengejut gara-gara hal berkenaan.

Bapa pengantin lelaki berusia 48 tahun merupakan usahawan tekstil, manakala pasangannya berusia 46 tahun.

Pasangan bapa dan ibu pengantin kemudian dilaporkan hilang tidak lama sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Keadaan menjadi kecoh sehingga keluarga terpaksa membuat laporan polis berhubung kejadian. Ahli keluarga pengantin memaklumkan, pasangan bapa dan ibu pengantin sebenarnya sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Mereka juga dikatakan sudah berkawan dan tinggal di daerah yang sama sejak sekian lama.

Difahamkan, tidak ada sesiapa yang mengetahui status hubungan mereka sama ada sudah bernikah atau sebaliknya selepas lari meninggalkan keluarga.

Sumber: Hmetro