Industri seni kehilangan sebutir bintang – PM

PEMERGIAN pengarah filem terkemuka tanah air, Mamat Khalid yang berusia 58 tahun turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri turut menerusi akaun Twitternya turut mengambil peluang merakamkan ucapan takziah di atas pemergian permata industri seni tanah air itu.

“Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanah air dan disegani dalam dunia perfileman negara.

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanah air di atas kehilangan ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, selamat dikebumikan sekitar pukul 2.26 petang di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh hari ini.

Allahyarham meninggal dunia lewat malam tadi, di Hospital Slim River, Perak ekoran serangan jantung.

Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan dan lima anak.