Youtuber viral tarik tudung 2 wanita ditahan polis, kena dakwa di mahkamah hari ini

berita viral

SEORANG pencipta kandungan di laman Youtube yang mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video ‘prank’ dengan menarik tudung wanita Islam ditahan polis pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penangkapan suspek yang berusia 24 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam dan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, lapor Harian Metro.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

“Namun suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video dengan isi kandungan yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti pada masa akan datang.

Video yang dimuat naik di saluran YouTube nickchannel yang tular itu menunjukkan tudung dua wanita Islam ditarik, hingga menimbulkan rasa kurang senang warga maya.

Bagaimanapun suspek telah membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran memuat naik video tersebut di saluran YouTube miliknya menerusi akaun yang sama sejurus selepas tercetusnya kontroversi.

Suspek turut menjelaskan bahawa dua wanita yang terlibat dalam video kontroversi itu merupakan rakannya sendiri dan sekadar ingin menjalankan eksperimen sosial.

Namun rata-rata netizen terus melemparkan kecaman terhadap individu yang dikenali sebagai Nick itu dan menyifatkannya sebagai biadab kerana tidak menghormati wanita Muslimah.

Tinjauan The News turut mendapati video tersebut sudah dipadam dalam saluran Youtube tersebut.

Sumber: Harian Metro