Pemandu lori rempuh 12 kenderaan di Tambak Johor diberkas

berita viral

PEMANDU lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 12 buah kenderaan yang berlaku di Tambak Johor pagi tadi ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan berkenaan dilaporkan berlaku pada pukul 9.25 pagi di tambak yang menghubungkan Malaysia dan Singapura itu, lapor Kosmo.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan teknikal membabitkan lori yang membawa muatan habuk kayu.

“Kemalangan yang berlaku itu melibatkan 12 buah kenderaan, dengan enam daripada merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura. Kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima. Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Beberapa rakaman kejadian lori yang dipandu individu berusia 34 tahun itu merempuh kenderaan juga tular di media sosial.

Rata-rata warga maya menyuarakan kerisauan mereka terhadap keadaan lori-lori di jalan raya yang dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pengguna lain.

Sumber: Kosmo