Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung, hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara masih menanti

berita semasa

PENYANYI nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis ganja pada Rabu.

Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, menyifatkan keputusan itu satu perkembangan positif bagi dirinya, lapor Berita Harian.

“Saya amat bersyukur dengan keputusan ini. Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, mereka merupakan sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, abangnya, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha yang menjelang hujung minggu ini.

“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini.

“Saya harapkan rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

Memetik laporan Berita Harian lagi, Yasin bagaimanapun didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sumber: Berita Harian