Wanita Diminta Bayar RM4,900, Dituduh Rosakkan Kasut ‘Dior’ Pelanggan

Foto: TikTok

PETALING JAYA – Seorang wanita diminta membayar ganti rugi sebanyak RM4,900 kerana merosakkan kasut berjenama mewah Dior milik seorang pelanggannya.

Menurut video yang dimuat naik wanita itu di TikTok, pelanggannya meminta ganti rugi kerana kasut tersebut rosak disebabkan gam yang digunakan sewaktu mengubah hantaran.

“Saya sudah meminta maaf kepada pelanggan atas kekhilafan saya. Bagaimanapun, pelanggan itu memalukan saya di media sosial. Jadi, saya minta agar dia memadam hantaran yang telah dimuat naik.

“Pada masa sama, saya meminta agar pelanggan menyerahkan kasut itu kerana saya telah membayar ganti rugi,” katanya.

Bagi mengesahkan akan ketulenan kasut itu, wanita tersebut turut meminta resit pembelian sebagai bukti.

“Walaupun sudah membuat pembayaran, pelanggan tersebut masih tidak menghantar resit.

“Tujuan saya minta resit adalah untuk mendapatkan pengesahan sama ada kasut tersebut original ataupun tidak. Kalau tidak beri resit, macam mana saya nak tahu ketulenannya?” jelas pengguna tersebut.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna menasihati wanita tersebut untuk lebih berhati-hati dengan tipu helah pelanggan.

“Akak kena pergi buat laporan polis. Sudahlah resit tak bagi, lepas tu minta bayar RM4,900, RM200 lebih mahal daripada harga sebenar. Dekat situ pun sudah nampak dia yang salah,” kata Puteri.

“Sepatutnya, minta resit dahulu sebelum bayar ganti rugi. Mana tahu kasut tu tiruan. Kalau ‘online’ boleh dapat RM89 sahaja (berserta) sekali kotak,” kata Mia.

Lebih mengejutkan, ada beberapa orang pengguna lain mendakwa si pelanggan sedang sakan membeli-belah selepas menerima wang RM4,900 daripada wanita tersebut.

“Cuba awak ‘add friend’ dia (pelanggan) di Instagram. Awak minta juga resit. RM4,900 bukan sedikit. Saya tengok dia (pelanggan) pun baru lepas ‘shopping’,” kata Ismi.

Kini, hantaran tersebut telah mendapat 43,700 tanda suka dan 1,783 komen. 

Sumber: Kosmo