Peniaga Gigit Jari, Hasil Jualan RM70,000 Diletakkan Dalam Bakul Motosikal Lesap

Foto: Berita Harian

KOTA BHARU, 15 Ogos- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang peniaga kedai runcit yang disamun di Jalan Kebun Sultan membabitkan kerugian berjumlah RM70,000.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP, Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa berusia 60-an sedang menunggang motosikal ke bank untuk mendeposit wang tersebut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dihampiri oleh seorang suspek lelaki yang menunggang motosikal sebelum bertindak melarikan beg plastik hitam berkenaan serta dua telefon bmbit yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

Mohd Rosdi memaklumkan, suspek menunggang sebuah motosikal berwarna hijau atau hitam, memakai jaket warna gelap, berseluar warna gelap serta bertopi keledar warna gelap sewaktu kejadian.

“Mangsa bagaimanapun gagal mengecam nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan tersebut.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Harjit Singh di talian 011-65577511 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, seorang peniaga kedai runcit terpaksa berputih mata apabila wang hasil jualan dianggarkan berjumlah RM70,000 dibungkus dalam beg plastik hitam disamun ketika dalam perjalanan ke sebuah bank di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu.