Berkawan Dengan ‘Girlfriend’ Orang, Punca Budak Tingkatan 3 Dibelasah Ramai-Ramai

Foto: Tular

Johor Bahru: Seorang remaja lelaki 15 tahun dipukul, ditendang, disepak dan dipijak ditumbuk sekumpulan remaja lain dalam kejadian 9 Ogos lalu hanya kerana berkawan dengan teman wanita salah seorang suspek.

Video memaparkan kejadian itu yang tular di media sosial sejak semalam berjaya membongkar kejadian menimpa remaja berkenaan sebelum tujuh remaja lain yang disyaki terbabit kes itu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek utama tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai berkawan dengan teman wanitanya.

“Polis mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan polis pada jam 4.09 petang semalam oleh mangsa yang mendakwa dia dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di perut, belakang badan, paha dan lengan kiri serta kanan.

“Suspek adalah enam remaja lelaki tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing semuanya berusia antara 14 hingga 17 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku di tempat awam dekat kawasan Taman Bestari Indah di sini, jam 3 petang 9 Ogos lalu dan pengadu mengalami cedera lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha sebelah kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, antara jam 5.30 petang hingga 9.34 malam semalam, polis menyerbu enam lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

“Hasil serbuan berjaya menahan enam suspek lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Kita turut membuat beberapa rampasan iaitu sehelai jersi warna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang warna biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan sebuah telefon bimbit,” katanya.

Terdahulu, satu video tular di media sosial Facebook dimuat naik pemilik akaun Yatt Kasmuri berdurasi 59 saat yang memaparkan kejadian seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lelaki lain di tempat awam.

Menurut Raub, tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tempoh reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun keseksaan.

Sumber: Harian Metro