Video Klip Raya Aliff Syukri dirujuk kepada JAKIM

MV Raya Aliff Syukri didakwa hina Islam dan

SUSULAN klip video raya yang mengundang kontroversi milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, kes tersebut kini telah dirujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, pihaknya turut berharap agar satu pertemuan bersama usahawan kosmetik itu dapat dilakukan untuk berbincang.

“Saya mengambil maklum ada beberapa video yang tular berkenaan klip video raya dimuat naik oleh seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia.

“Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana pada ketika semua umat Islam pastinya berasa teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala yang ALLAH tawarkan kepada mereka yang beriman, seolah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat taqwa ini,” katanya.

Ujarnya lagi, klip video berkenaan ternyata menjadi topik panas dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mempamerkan budaya di negara ini.

Malah ia juga kata Idris tidak dianggap bersesuaian untuk memperlihatkan kemenangan Islam setelah sebulan menempuh Ramadan.

“Nasihat saya dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh di keluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media, atau ia boleh di privasi hanya untuk tatapan peribadi pemilik video.

“Saya yakin ia mampu memberi jiwa yang besar dan hati lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama,” katanya lagi.

Sebelum ini, netizen secara bertalu-talu mengecam penerbitan klip video tersebut yang menyaksikan sekumpulan penari lelaki lembut dan bersolek.

Selain itu, ada juga pihak yang berpendapat bahawa ia seolah-olah mempromosikan gaya hidup bebas dan songsang.