Warga emas didakwa seks luar tabii dengan kucing 

FOTO: Astro AWANI

SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seekor kucing, dua minggu lalu.

Tertuduh, Janting anak Keling, 63, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari, lapor Berita Harian.

Janting didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing sehingga menyebabkan haiwan itu mati.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan taman permainan dekat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 4.30 pagi, 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya berkata, tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh, namun jika mahkamah mahu menawarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon nilai RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan berikutan tidak bekerja.

“Saya baru datang ke Johor Bahru dari Sarawak dan tiada pekerjaan. Saya juga menumpang di rumah anak perempuan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan nilai jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian