Dia yang langgar, orang lain kena marah

TRAFIK dan keadaan lalu lintas di ibu kota kelihatan kembali sesak ekoran persiapan menjelang Aidilfitri yang hanya berbaki lebih kurang seminggu lagi.

Dalam kesesakan lalu lintas pasti ada insiden kemalangan yang berlaku akan tetapi kali ini agar berbeza apabila ‘lain orang yang langgar tapi lain orang pula yang kena marah’.

Keadaan itu merujuk kepada satu rakaman dashcam apabila seorang penunggang ‘superbike’ yang melanggar penunggang motosikal wanita di depannya.

Video kejadian yang tular

Kejadian berlaku apabila wanita itu sedang menghampiri Proton Iriz, sebuah Mitsubishi Lancer menghampiri di kanannya sambil membuka lampu signal sebagai petanda awal dia mahu masuk ke kiri.

Akibat brek mengejut, penunggang ‘superbike’ berkenaan juga telah merempuh wanita tersebut tanpa menghiraukan mangsa yang telah jatuh dan hanya bertindak memarahi pemandu kenderaan Lancer terbabit.

Bagaimanapun muncul ‘rider’ Foodpanda yang bertindak sebagai penyelamat kepada mangsa wanita itu setelah melihat dia tidak mendapat bantuan daripada sesiapa.

Netizen beranggapan, tindakan penunggang ‘superbike’ itu memarahi pemandu Lancer itu juga tidak wajar apatah lagi hanya membiarkan mangsa terbaring dalam kesakitan.

Malah warganet menyifatkan lelaki itu sendiri yang tidak menjaga jarak sewaktu menghampiri penunggang wanita itu sebelum berlaku perlanggaran dan menyalahkan orang lain.

Pada masa sama, orang ramai memuji ‘Abang Foodpanda’ yang langsung tidak membuang masa dan cekap terus membantu mangsa sejurus ternampak kemalangan itu berlaku.