[Video] ” Dua Beranak Main Buaian “

REMAJA lelaki yang berehat di beranda rumahnya selepas bekalan elektrik di kawasan perumahan Taman Nirwana, Ampang terputus naik bulu roma apabila melihat dua buaian bergerak secara tiba-tiba pada Rabu lalu.

Muhammad Nazreen Fahmi Abd Jalil, 16, mendakwa dia sedang berdiri di beranda sambil pandangannya ke arah persekitaran yang bergelap susulan bekalan elektrik terputus pada 10 malam.

Pandangannya terhenti di taman permainan sebaik melihat sesuatu yang aneh apabila dua buaian bergerak perlahan-lahan seterusnya menjadi laju sedangkan tiada kelibat sesiapa di sekitar kawasan berkenaan.

Dia kuatkan semangat untuk melihat apa sebenarnya berlaku hingga mendorongnya merakam aksi terbabit menggunakan telefon bimbit.

“Buaian itu bergerak perlahan dan kemudiannya menjadi laju sedangkan tiada sesiapapun berehat atau bermain di taman itu.

“Saya pelik kerana pada malam itu, tiada angin tetapi buaian itu bergerak sendiri.

“Jika ada angin sekalipun, kelajuan buai itu tidak akan mencapai tahap seperti saya lihat,” katanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane.

Video berdurasi 31 saat menunjukkan buai terbabit bergerak sendiri sebelum dimuat naik ke akaun Twitter Muhammad Nazreen.

Pada mulanya ada netizen mendakwa buaian itu bergerak kerana angin tetapi Muhammad Nazreen sekali lagi merakam video pada siang keesokan hari yang menunjukkan keadaan tidak sama seperti didakwa sesetengah pihak.

Rakaman kedua berdurasi 21 saat itu menunjukkan walaupun angin kuat, dua buaian terbabit bergerak sedikit berbanding ketika rakaman pada malam Rabu lalu.

Video pertama ditonton lebih 150,000 warganet dengan 6,400 ulang ciapan serta 8,100 tanda suka.

Ada warganet memberitahu mereka ternampak seorang kanak-kanak bersama ibunya bermain buaian dalam rakaman video terbabit.

Dalam hantaran itu, Muhammad Nazreen menulis: “Masalahnya bukan sekali awak main buaian tu tapi banyak kali, 3 pagi pun awak main.”

Kisah itu tidak terhenti begitu sahaja apabila Muhammad Nazreen memberitahu, seorang jiran pernah terserempak dua beranak sedang berjalan di hadapan rumah penghuni beberapa bulan lalu.

Menurutnya, perkara itu bukan baru memandangkan ada penduduk di situ mendakwa mereka pernah melalui situasi terbabit tetapi tidak mengendahkan.

“Biasanya ia berlaku selepas 10 malam, malah siang hari pernah juga terjadi. Cerita buaian bergerak ini bukan rekaan semata-mata kerana saya sendiri mengalaminya.

“Lama-kelamaan buaian itu akan berhenti sendiri. Tidak logik bila buaian itu tiba-tiba gerak sendiri dan rakaman video yang diambil membuktikan perkara sebenar,” katanya.