Tok Pora, antara nelayan tertua di Malaysia

Berusia 104 tahun, Sepora Amin atau Tok Pora menjadi antara nelayan pesisir paling tua di negara ini.


Berkongsi rahsia kesihatan, warga emas yang berasal dari Langkawi ini memberitahu dia bekerja setiap hari untuk keluarkan peluh selain makan ikan rebus dan ulam.


Menerusi laporan Berita Harian, Tok Pora sudah bergelar nelayan sejak zaman remaja lagi. Malah selepas kematian suami dia menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber utama pendapatan untuk membesarkan anak-anak.

“Dari zaman muda, saya memang tidak boleh duduk diam dan tidak membuat kerja, badan habis sakit kerana tidak keluar peluh dan kadang-kala boleh menyebabkan saya demam.


“Kalau tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh, saya akan tangguk udang dan cari siput di tepi pantai bagi membolehkan badan terus sihat dan saya berasa seronok,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Sepora dikunjungi Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman, yang meninjau kehidupan warga emas itu yang masih aktif menjadi nelayan itu.

Hasil tinjauan itu Tok Pora akan diberi bantuan dalam perniagaan belacan, selain meneliti permintaan memperbaiki rumahnya yang uzur.