Tiga rumah dijilat api, 93 mangsa hilang tempat tinggal

Seramai 93 mangsa kebakaran hilang tempat tinggal melibatkan tiga buah rumah yang disewa musnah semasa kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.

Kejadian berlaku lingkungan jam 11.32 malam tadi. Mangsa melibatkan 49 dewasa, 34 kanak-kanak, sembilan warga emas dan seorang bayi ditempatkan di Dewan Sembulan.

Menurut laporan Bernama, Dua rumah sewa tersebut berukuran 139.35 meter persegi dan sebuah lagi dengan keluasan 55.74 meter persegi dan disekat dijadikan bilik.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam kenyataan memaklumkan kebakaran itu turut memusnahkan empat motosikal.

“Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama empat jentera ke lokasi sejauh satu kilometer turut dibantu oleh BBP Lintas dan BBP Penampang,” katanya dipetik Bernama.

Kemudian, Operasi pemadaman api melibatkan 35 anggota sebelum operasi ditamatkan pada 1.20 pagi.

Bagaimanapun, Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan manakala jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.