“Terlalu panas katanya…” – wanita terkejut anak simpan telefon dalam peti ais

TELEFON pintar merupakan satu keperluan buat masa kini. Tidak dinafikan, ia sangat mudah dimiliki tanpa mengira usia, status dan sebagainya.

Terbaru, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang wanita yang menemui telefon anaknya setelah sekian lama menghilang.

Difahamkan, telefon yang diberikan kepada anaknya itu mula hilang selama tiga hari sehingga membuatkan mereka di rumah menjadi kecoh hanya kerana tidak jumpa telefon tersebut.

Namun, selepas hari ketiga, telefon tersebut akhirnya ditemui dan apa yang mengejutkan ia telah keras seperti bongkahan ais.

Melalui video berdurasi 18 saat, ibu kepada anak berkenaan menjelaskan bahawa dia terjumpa telefon tersebut tersimpan elok di dalam peti ais.

Pada awalnya, tiada siapa pun yang mengetahui keberadaan telefon tersebut. Apa yang mencuit hati apabila kanak-kanak tersebut tampil membela diri dan mengaku bahawa dia telah memasukkan telefon tersebut di dalam peti ais kerana ia sudah panas.

Dalam pada itu, apa yang lebih mengejutkan, telefon itu juga disimpan ‘baik dan rapi’ di dalam bekas plastik dan sudah membeku.

Ia menuai pelbagai reaksi dari rata-rata warganet yang tidak tahu sama ada ingin ketawa melihat tindakan anak kepada wanita itu atau mahu bersimpati.

Mungkin dari insiden yang dikongsi wanita ini, para ibu bapa boleh ajar anak-anak beberapa cara terbaik untuk ‘menyejukkan’ telefon agar ia tidak terulang lagi.