Rupanya ada tiga isteri, lelaki pukul isteri hingga koma kini didakwa

SELEPAS seminggu ditahan pihak polis, seorang peniaga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam kerana memukul isteri ketiganya sehingga koma pada 4 Mei lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Rosmaini Abd Raof, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 berikutan kes itu serius kerana menyebabkan isteri tertuduh dilaporkan koma selain memberi pengajaran kepada masyarakat.

Mencari rezeki sebagai peniaga, tertuduh berusia 38 tahun yang tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan kerana menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Sehubungan itu, Hakim V M Mabel Sheela menetapkan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin selain tertuduh diminta melapor diri di balai polis berhampiran serta diarahkan tidak mengganggu mangsa.

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan dengan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu melalui perkongsian di Facebook, adik kepada mangsa iaitu Fauziah Nordin bersuara menyatakan rasa tidak puas hati selepas membaca pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh.

Sumber: Harian Metro dan Ohmymedia