“Tak sensitif betul!” – pasangan DurianKimchi dikecam gara-gara ‘hina’ baju tradisi kaum Iban

PASANGAN selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam atau lebi dikenali sebagai DurianKimchi baru-baru ini membuatkan orang ramai bengang kerana mempersendakan baju tradisional kaum Iban melalui Instastory.

Umum mengetahui bahawa pasangan ini semakin popular kerana sering berkongsi vlog kehidupan mereka sering bergurau antara suami isteri yang berbeza budaya itu sering berakhir dengan lucu.

Kebelakangan ini, mereka sering diundang ke beberapa rancangan televisyen dan terbaru ditawarkan untuk menjadi model pakaian-pakaian tradisional.

Sebuah video yang awalnya dikongsi oleh Ryzal melalui Instastory menunjukkan bahawa Maryam sedang dihiaskan dengan pakaian tradisional kaum Iban.

Walau bagaimanapun, Ryzal yang sedang bergurau bersama isterinya itu telah mengatakan bahawa baju tersebut kelihatan seperti langsir rumah, duit syiling, tali pinggang pengakap dan tikar.

Sehubungan itu, perbuatan Ryzal telah mengundang amarah netizen yang mengkritik sekerasnya tindakan Ryzal yang seakan tidak menghormati pakaian tradisional kaum Iban.

Menurut mereka, sebagai seorang yang dikenali, Ryzal perlu lebih berhati-hati dan seharusnya membuat penyelidikan sebelum memberi kutukan terhadap budaya pakaian tradisional sesuatu kaum. 

Dalam pada itu, ada juga diantara warganet yang turut berkongsi senarai nama dan harga dengan terperinci untuk satu set pakaian Ngepan Indu Iban yang serba lengkap bersama aksesori. Difahamkan jumlah pakaian ini boleh mencecah sehingga RM18,000 untuk sepasang baju set penuh.

Namun, sejurus isu tersebut tular, Ryzal telah memuat naik permohonan maaf di Instagramnya dan mengakui gurauannya itu tidak cerdik dan menyesali perbuatannya.