Suami OCD cerai isteri 8 hari selepas berkahwin hanya kerana salah cuci beras

Suami OCD cerai isteri 8 hari selepas berkahwin hanya kerana salah cuci beras

SEORANG wanita di Indonesia meluahkan rasa kecewa kerana diceraikan suaminya hanya selepas lapan hari mereka berkahwin, lapor portal berita Wolipop.

Dedah wanita yang dikenali sebagai Eka S Rufaidah itu, selepas berkahwin, suaminya sering naik berang akan pada perkara-perkara kecil, lapor Kosmo.

Dia pula hanya mendapat tahu bahawa suaminya menghidap keadaan kesihatan mental Obsessive Compulsive Disorder (OCD), sehari selepas mereka berkahwin.

“Setiap peralatan di rumah perlu disteril dan dia juga tidak suka orang lain mengemas jika rumahnya dalam keadaan berselerak.

“Dia juga pernah menyuruh saya menyiapkan makanan dan merendam sudu yang akan digunakan ke dalam air panas. Tanpa disengajakan, pakaian saya terkena nasi itu dan ia membuatkan suami naik angin.

“Saya berasa takut melihatkan emosinya yang tidak stabil,” katanya.

Tambah Eka, dalam satu kejadian lain, suaminya menyuruh dia membuang beras yang sudah dicuci hanya kerana kaedah cucian wanita itu tidak sama seperti cara suaminya.

“Selain itu, ada satu ketika apabila perut saya berasa sakit kerana masalah senggugut. Saya meletakkan bantal tidur di paha bagi mengalas perut yang sedang sakit.

“Secara tiba-tiba, dia menjerit kepada saya dan berkata bahawa saya ialah isteri yang tidak taat,” ujar wanita itu.

Keesokan harinya, Eka berkata, dia meminta kebenaran suaminya untuk pulang ke rumah ibu bapanya secara sendirian.

“Pada 14 Mac, dia mengirim pesanan pada aplikasi WhatsApp dan menceraikan saya begitu sahaja.

“Saya berharap tiada wanita lain yang menerima nasib sama seperti saya dan untuk kaum lelaki, pernikahan bukanlah satu perkara main-main,” katanya lagi.

Sumber: Kosmo