Rider Selamatkan Kucing Terperangkap Atas Highway

Seorang lelaki sanggup membiarkan motosikalnya jauh di tepi jalan semata-mata mahu menyelamatkan seekor kucing di sini.

Seorang jurugambar STAR Ahmad Zhafaran Nasib, pada mulanya curiga dengan tindakan lelaki berkenaan yang dilihat seolah-olah bercakap dengan seseorang di tepi kesibukan jalanraya.

Menurutnya, keadaan lebih berbahaya apabila jalan di situ agak sempit dan hanya muat-muat dengan dua laluan kenderaan sahaja.

“Disebabkan naik hairan, saya pun berhenti sama dan rupa-rupanya lelaki tersebut berhenti kerana ada seekor kucing bertenggek di atas tiang lampu.

“Tambah bahaya apabila kucing itu hanya duduk di kawasan sudut yang begitu tinggi dan mungkin jika ia silap langkah akan jatuh ke bawah dan lebih teruk mungkin akan mati,” katanya.

Zhafaran berkata, lelaki misteri yang tidak dikenalinya itu dilihat bersungguh-sungguh menyelamatkan kucing betina berkenaan.

“Dia turut memberitahu saya yang dia juga beberapa kali dicakar kerana kucing tersebut terlalu takut.

“Kami juga menggunakan beberapa helah untuk menangkapnya sebelum dimasukkan ke dalam guni,” katanya.

Disebabkan terjatuh, kucing berkenaan kemudiannya dibawa ke klinik haiwan untuk dirawat.

Doktor memaklumkan kucing tersebut trauma dan berkemungkinan melompat keluar dari kereta atau motosikal tuannya.

Selain trauma, kucing tersebut telah berada di situ seharian dan mengalami rasa dahaga agak teruk.

Atas dasar belas kesian, doktor haiwan itu langsung tidak mengenakan caj bayaran untuk merawat kucing tersebut.

Kucing berkenaan kemudiannya diserahkan kepada seorang peminat kucing setelah berita berkenaan dikongsi melalui whatsapp dan juga facebook.