Remaja tak sangka ‘selfie’ sendiri raih keuntungan lebih AS$1 juta

SIAPA sangka tindakan seorang remaja Indonesia yang hanya memuat naik ‘selfie’ sendiri berjaya meraih keuntungan lumayan.

Menurut pelajar berkenaan, Sultan Gustaf Al Ghozali yabg merupakan pelajar di Universiti Semarang pada awalnya mengambil gambar dan video di hadapan komputer hampir setiap hari bagi tempoh lima tahun.

Pada peringkat awal ia hanya bertujuan untuk menyimpan kenangan sebelum berakhir sesi pengajiannya.

Bagaimanapun bahan-bahan itu menjadi tular di media sosial lantas Ghozali dengan mudah memperoleh lebih AS$1 juta (RM4,178,500) hasil penjualan hak cipta digitalnya menerusi token ‘non-fungible’.

Terpegun dengan keuntungan yang dijana, Ghozali terus mendalami teknologi ‘blockchain’ dan foto-foto remaja tersebut diletakkan menerusi platform perniagaan NFT OpenSea dengan tajuk “Ghozali Everyday”.

“Saya tidak sangka ada yang ingin membeli ‘selfie’ saya. Itu sebab saya hanya meletakkan harga AS$3 untuk setiap foto,” katanya memetik laporan Channel News Asia.

Sebelum itu,setiap keping foto dijual pada 0.247 mata wang kripto ether (AS$806) selepas permintaan melonjak.

NFT merupakan satu platform yang menukar barangan digital daripada lukisan sehingga ke meme kepada barang digemari pengumpul.

Foto remaja berusia 22 tahun itu bahkan pernah dibeli seorang chef selebriti serta mempromosi Ghozali di akaun media sosialnya.

Dalam beberapa hari sahaja, lebih 400 individu membeli ‘selfie’ itu.

“Secara jujurnya saya masih tidak berani memberitahu ibu bapa saya namun mereka mungkin akan tertanya di mana saya dapatkan duit itu,” katanya lagi.

Ghozali sering mengemaskini statistik OpenSea video berkenaan di akaun Twitter miliknya, yang sehingga kini terdapat lebih 16,000 pengikut.

“Hari ini saya berjaya menjual lebih 230 ‘selfie’ dan sehingga kini saya masih tidak faham mengapa ada orang ingin membeli foto NFT saya.

“Namun saya sangat bersyukur dan berterima kasih. Akhirnya usaha saya selama lima tahun membuahkan hasil,” katanya menerusi hantaran di akaun Twitter.

Ghozali, yang bercita-cita untuk membuka studio animasi sendiri satu hari ini berkata, dia akan melaburkan duit itu dan teruskan mengambil ‘selfie’ setiap hari sehingga tamat pengajian.