Terkini! Imam mandikan remaja curi tabung masjid ‘seperti jenazah’ letak jawatan

IMAM yang terbabit dalam sebuah video tular memaparkan dia memandikan seorang remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid, sudah meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Memetik laporan FMT, dia dikatakan mengambil keputusan itu setelah diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar kepada imam berkenaan. Saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi saya diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis ketika mengulas tindakan imam berkenaan berkata, sebagai tokoh agama tempatan, individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan. Patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan.

“Tugas imam sebagai da’i, beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah, bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” tambahnya.

Sumber: FMT