Perkahwinan 34 Tahun ND Lala Sudah Berakhir, Bekas Isteri Terima Lafaz Cerai Dari Whatsapp

Foto : Mstar

KUALA LUMPUR – Kontroversi membabitkan rumah tangga ibu bapa penyanyi Shila Amzah akhirnya terjawab apabila apabila Datin Fauziah Sarman mengesahkan bercerai dengan suaminya yang juga pelakon dan penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram (IG), Fauziah memberitahu, lafaz cerai dilakukan suaminya pada 2 Ogos lalu, namun hanya dimaklumkan mengenainya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah, saya ingin memaklumkan yang saya menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp dikirimkan pada pagi 8 Ogos (semalam).

“Untuk perkahwinan terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam melalui pesanan WhatsApp,” tulisnya.

Akur dan reda dengan badai yang membadai keluarganya, ibu anak empat itu turut mengharapkan semua pihak dapat mendoakannya kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan ini selain memaklumkan pendedahan yang dibuatnya itu bertujuan untuk mengelakkan timbulnya fitnah pada kemudian hari.

“”Apa yang menjadi sejarah akan dititipkan sebagai nadi kekuatan dalam membina hidup lebih diredai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa. Ini kerana saya sedar, dosa sesama manusia sangatlah berat.

“Terima kasih untuk doa dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata, hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi baik serta kasih sayang kalian semua,”katanya dalam perkongsian tersebut.

ND Lala dan Fauziah berkahwin pada tahun 1989. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.

Pada majlis pernikahan Shila, baru-baru ini, ND Lala dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis dan enggan ditemubual selepas usai menikahkan anaknya itu.