Penyelia Operasi Dalang Curi Gaji Pekerja Lebih RM200,000 Dicekup

Foto : selangorkini

KLANG – Kejahatan seorang penyelia operasi sebuah syarikat memproses makanan dipercayai dalang mencuri wang gaji pekerja tempatnya bekerja bernilai lebih RM200,000 terbongkar apabila ditahan di sekitar daerah ini, kelmarin.

Lelaki tersebut ditahan pukul 9.30 pagi bersama isteri dan dua lelaki warga asing yang kesemua berusia 22 hingga 44 tahun.

Suspek yang menjadi dalang itu telah bekerja di syarikat tersebut sejak 2017 manakala isterinya merupakan peniaga makanan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan mendapati kejadian disedari seorang wanita berusia 43 tahun yang bertugas sebagai pembantu pengurus sumber manusia di syarikat tersebut kira-kira pukul 6 pagi pada Jumaat lalu.

Katanya, sebanyak RM201,586.23 berserta 32 unit telefon bimbit milik syarikat diletakkan di dalam pejabat syarikat beroperasi Pulau Indah itu telah dicuri.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu telah membuat pengagihan gaji mengikut pekerja yang diletakkan dalam sampul sehari sebelum kejadian.

“Kesemua wang itu kemudiannya diletakkan dalam kotak dan disimpan ke dalam almari sebelum pulang ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pembantu pengurus sumber manusia tersebut bercadang untuk membuat penyerahan gaji kepada pekerja yang selesai syif pada pagi Jumaat iaitu hari kejadian.

Hoong Fong menjelaskan bertindak maklumat polis kemudiannya berjaya menahan pekerja syarikat itu dengan isterinya serta dua lelaki warga asing.

“Sejumlah RM110,680 dan 15 barangan kemas berserta resit pembeliannya turut dirampas daripada suspek tersebut.

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Kata beliau, kesemua suspek kini direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sumber : Kosmo