Dua Lelaki Didakwa Bergaduh Sehingga Cedera Parah, Hutang Jadi Punca

Foto : Kosmo

LUMUT – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan kecederaan parah pada tubuh masing-masing, akhir bulan lalu.

Ling Boon Huat, 40, dan Ngoi Mei Hock, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Boon Huat dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap Mei Hock di Pusat Hiburan Mikado Kafe, Sitiawan kira-kira pukul 12.04 tengah malam pada 30 Julai lalu.

Mei Hock pula dituduh menyebabkan kecederaan parah kepada Boon Huat di dalam Bilik 111 pusat hiburan sama kira-kira pukul 10 malam pada tarikh sama.

Kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret T. Kavita membenarkan jaminan RM4,500 masing-masing kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau turut memerintahkan kes itu disebut semula pada 19 September kepada Mei Hock dan 21 September untuk Boon Huat bagi serahan laporan perubatan.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Norjihan Jaya manakala Boon Huat diwakili peguam Joanne Koay Jing Qian dan Mei Hock pula oleh peguam Kartini Mansor.

Terdahulu, Norjihan menawarkan jaminan RM8,000 seorang kepada kedua-dua tertuduh.

Sumber : Kosmo