Pemandu Bezza putih rejam kucing ditahan, dakwa alami gangguan emosi

Pemandu Bezza putih rejam kucing ditahan, dakwa alami gangguan emosi

GARA-gara gangguan emosi kerana tidak mempunyai pekerjaan… Itu alasan yang diberikan seorang lelaki selepas ditahan polis apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia mencederakan seekor kucing tersebar di laman sosial.

Dalam video tersebut, suspek terdahulu dilihat memberi kucing tersebut makan sebelum membaling satu objek dipercayai sebiji batu ke arah haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan jam 1.29 tengah hari di rumahnya di Kampung Pengkalan Bujang Merbok.

Polis bertindak selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki jam 12.03 tengah malam Ahad.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa emosinya terganggu kerana tiada pekerjaan sehingga memaksa dia melakukan perbuatan terbabit.

“Temu bual awal dengan ahli keluarga suspek juga mendakwa lelaki tersebut adalah seorang pencinta kucing dan telah banyak memelihara haiwan tersebut di rumah sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Suspek terdahulu dilihat memberikan kucing berkenaan makan

Menurutnya, suspek akan direman di Mahkamah Majistret hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100, 000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Faizal Mohamed Said di talian 013-7503680.

Dalam kejadian pada Sabtu, suspek didakwa bertindak menendang dan membaling objek dipercayai batu ke atas dua ekor kucing di kaki lima premis kedai bangunan tersebut.

Rakaman CCTV berdurasi 2 minit 35 saat memaparkan perbuatan suspek yang berpakaian serba hitam dan menaiki Perodua Bezza putih mengumpan makanan sebelum menyiksa kucing tersebut.

Rakaman kejadian juga tular di media sosial dan mendapat kecaman masyarakat.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian