Facebook rancang rombakan berskala mega, mahu saingi TikTok

Facebook rancang rombakan berskala mega, mahu saingi TikTok

MARK Zuckerberg dan eksekutif Meta secara dikatakan secara jelas menjadikan misi bersaing dengan TikTok sebagai misi utama mereka kini.

Terdapat beberapa maklumat dalaman yang bocor mengenai rancangan Meta untuk membuat perubahan berskala besar terhadap aplikasi Facebook bagi menjayakan misi tersebut.

Rangkaian laman sosial terbesar dunia itu kini dikatakan sedang giat mereka semula paparan utama Facebook bagi membolehkan ia memberi cadangan kandungan daripada page, pencipta kandungan dan individu yang tidak diikuti oleh pengguna.

Menerusi satu memo dalaman yang tersebar luas di laman sosial sebelum ini, ia disifatkan akan mengubah cara enjin carian Facebook beroperasi.

Memo yang ditulis ketua aplikasi Facebook di Meta, Tom Alison, secara jelas mendedahkan bakal mengubah Facebook kepada “Discovery Engine” yang didakwa hampir menyerupai cara “For You” milik TikTok.

Rekomendasi juga dikatakan bakal datang daripada kandungan yang tidak berhubung, bermakna pengguna bakal kurang melihat kandungan daripada rakan atau keluarga sendiri yang ditambah dalam senarai friendlist sebelum ini.

Meta dikatakan bakal membawa semula kotak mesej (messenger) ke dalam aplikasi Facebook bagi meningkatkan lagi perkongsian kandungan.

Namun masih tidak jelas bagaimana Meta bakal mengambil masa bagi merealisasikan hasrat mereka ini.

Ini bukan kali pertama Facebook berhasrat membuat perubahan besar terhadap aplikasi mereka.

Pada April lalu, Zuckerberg menjelaskan bahawa syarikatnya sedang berada dalam fasa perubahan yang besar bagi memberikan rekomendasi lebih baik kepada pengguna.

Dan selepas memo dalaman yang ditulis Alison tersebar, ia semakin kuat menyatakan Meta seakan tertekan dengan saingan yang diberikan TikTok.