Pelanggan mengadu sambal busuk dan basi, Khairul Aming kecewa ada pihak ambil kesempatan jual ‘Sambal Nyet’ fake

TIDAK dinafikan selebriti media sosial, Khairul Aming sering berkongsi resepi yang terbaik kepada pengikutnya sehingga dia kini mampu mengeluarkan produknya sendiri iaitu ‘Sambal Nyet’.

Baru-baru ini, Khairul Amin Kamarulzaman atau nama popularnya, Khairul Aming meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menghasilkan dan menjual sambal palsu menggunakan nama produknya.

Menurut perkongsian video yang dimuat naiknya, dia pelik kerana ada beberapa pembeli yang mengadu bahawa sambal dipesan mereka telah berbuih dan basi.

Video yang dikongsi oleh Khairul Aming di Instagram

Disebabkan hal itu, Khairul Aming terus mengambil tindakan dengan cuba membeli produk sambal tiruannya itu. Jelasnya kepada pengikut, memang terdapat beberapa bukti yang menunjukkan sambal tersebut adalah tidak asli dijual olehnya.

Antaranya adalah botol dan pelekat produk berkenaan yang kelihatan seperti sudah diulang cetak. Selain dari itu, warna ‘Sambal Nyet’ lebih segar berwarna merah jika nak dibandingkan dengan sambal tiruan yang berwarna kehitaman dan berminyak.

Khairul Aming juga meluahkan rasa kecewa apabila ada dalam kalangan pelanggan yang datang semula kepadanya untuk meminta wang ganti rugi mereka padahal mereka tidak membeli dari talian pesanan rasminya.

Dalam pada itu, Khairul Aming turut merayu agar masyarakat di luar sana tidak membeli Sambal Nyet dengan ‘reseller’. Jelasnya lagi, laporan polis sudah dibuat di Damansara dan kes tersebut bakal diteruskan oleh peguam. Sebagai peniaga, Khairul Aming memohon maaf sekali lagi kerana sambal yang dijualnya sering tidak mencukupi.