LiLou, Khinzir Pertama Di Dunia Bekerja Di Lapangan Terbang

Lapangan terbang di San Francisco, Amerika Syarikat melantik seekor khinzir sebagai pekerja dalam membantu mereka yang takut untuk menaiki penerbangan. Babi yang beri nama LiLou diberi peranan sebagai haiwan terapi kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Menurut Reuters ini merupakan khinzir pertama di dunia yang diberikan tugas ini. Ternyata tugas LiLou tidak sekadar meredakan perasaan takut tetapi juga diberi tanggungjawab untuk menghiburkan mereka yang berada di lapangan terbang tersebut.

Berusia lima tahun LiLou yang turut ditemani pemiliknya Tatyana Danilova memberitahu kelebihan yang dimiliki haiwan peliharannya ini mampu membuatkan semua orang ketawa melihat telatahnya.

Tampil dengan fesyen tersendiri LiLou sering mencuri tumpuan apabila turut memakai topi pilot dan mewarnakan kuku kakinya. Malah penampilannya yang dianggap comel itu juga mampu membuatkan ramai yang selesa dengan kehadirannya.

Jelas Danilova jika tidak bertugas, Lilou hanya akan berada di rumah. Malah dalam memastikan Lilou sihat, dia hanya akan memberikan sayur organik dan pelet protein sahaja sebagai makanan asas.

Namun kata Danilova walaupun Lilou suka berinteraksi dan manja namun haiwan ini juga cukup pantang dikejutkan dan didekati dari belakang.

Sementara itu selain khinzir, antara haiwan lain yang turut mempunyai tugas yang sama di lapangan terbang tersebut adalah anjing.