Lelaki Tertekan Jadi Mangsa Buli Di Tempat Kerja

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Seorang lelaki menceritakan pengalamannya dibuli teruk di tempat kerja sehingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikalnya.

Menurut video tular di laman TikTok, lelaki yang berusia 46 tahun itu memegang jawatan yang agak tinggi dan perlu melapor kepada dua orang pegawai atasan.

“Inerupakan pengalaman yang sangat pahit untuk saya sebab saya dibuli hampir setiap hari sehingga tekanan darah saya naik mendadak.

“Pada awalnya, saya tidak tahu saya dibuli. Masa itu, saya rasa saya yang salah. Bayangkan, ketika saya berusia 46 tahun, saya dimarah dan dimaki hampir setiap hari,” ceritanya.

Menurut lelaki tersebut, dia juga pernah menangis di hadapan rakan-rakan sekerja kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi.

“Walaupun saya banyak pengalaman dan dikira sebagai pekerja yang ‘seasoned’, saya masih lagi menangis teresak-esak seperti budak kecil.

“Disebabkan tekanan yang melampau, saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati doktor yang ditemuinya pada hari tersebut pernah berurusan dengan orang atasannya.

“Doktor telah memberikan saya preskripsi untuk kondisi yang dialami dan menasihati saya untuk ke Institut Jantung Negara secepat mungkin.

“Namun, doktor tersebut juga sempat menitip pesan lain supaya saya berhenti bekerja di tempat tersebut,” katanya.

Menurutnya, doktor tersebut pernah berjumpa dengan orang atasannya beberapa kali dan hampir setiap doktor di klinik tersebut enggan berurusan dengannya.

“Kalau orang dekat sini pun tidak tahan dengan bos awak, saya tidak pasti macam mana awak boleh bekerja dengannya dalam satu tempoh masa yang lama,” katanya.

Tambah lelaki tersebut, kejadian buli itu telah membuatkannya panik, resah dan sukar untuk bekerja seperti biasa.

“Walaupun perkara ini sudah lama berlaku, saya masih lagi rasa trauma dengan pengalaman saya di tempat kerja tersebut.

“Sekiranya ada yang mengalami masalah seperti saya, dapatkan rawatan secepat mungkin. Semakin cepat kita dapat rawatan, semakin pantaslah kita dapat selesaikan masalah ini,” nasihatnya kepada pengguna TikTok yang lain.

Sumber : Kosmo