Lelaki tergamak terajang bapa tiri kerana tak dapat beli dadah!

SEORANG lelaki tergamak menendang dan memukul bapa tirinya hingga cedera gara-gara tidak diberikan wang untuk membeli dadah

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam, suspek bertindak memukul dan menendang dua kali di bahagian dada dan muka bapa tirinya berusia 71 tahun itu disaksikan ibunya, lapor Berita Harian.

Beberapa rakaman kejadian turut tular di laman sosial sejak petang Selasa.

Susulan kejadian itu, ibu suspek meminta penduduk kampung melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, suspek yang juga penagih dadah tegar sering memukul bapa tirinya jika enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.

“Mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di bahagian ruang tamu rumah didiami mangsa bersama isterinya,” katanya kepada Berita Harian.

Shahnaz berkata, suspek dikatakan masuk ke dalam rumah dan meminta wang daripada bapa tirinya untuk membeli dadah, namun mangsa enggan memenuhi permintaannya itu.

Beliau berkata, suspek ditahan pada jam 6.45 petang semalam di kawasan Lubuk Boi dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Yan dan mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat kesan tumbukan suspek.

“Siasatan mendapati suspek seorang pesakit mental dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan isteri mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012,” jelasnya.

Sumber: Berita Harian