Kucing Bijak Bantu Rakannya Meloloskan Diri, Tapi Dirinya Pula Yang Kena ‘Denda’

Haiwan yang cukup manja dengan manusia, kucing menjadi pilihan ramai untuk menjadi penghibur dan peneman di rumah. Gelagatnya kadang-kadang menghiburkan menjadikan ia antara haiwan peliharaan kesayangan manusia. Malah dengan fizikalnya yang berbulu gebu membuatkan ramai yang menyayanginya.

Namun bagi seekor kucing yang diberikan nama Quilty menjadi sensasi di internet selepas perbuatannya yang agak ‘nakal’ meraih perhatian ramai.

Menerusi laporan, Quilty sudah beberapa kali bantu kucing-kucing jalanan lain melepaskan diri dari ‘rumah perlindungan’ di Friends For Life Animal Rescue and Adoption Organization.

Difahamkan sebelum ini Quilty pernah diberi amaran gara-gara perbuatannya itu namun ia tidak menghiraukannya. Selepas beberapa kali akhirnya Quilty dikurung sebagai denda atas perbuatannya.

Biarpun begitu ketika Quilty dikurung, ia pernah beberapa kali cuba untuk melepas dirinya dengan melalui beberapa lubang, pintu, tingkap dan sebagainya.

Amboi, bukan main bijak dan banyak akal ya kucing ini!

Malah sepanjang denda itu berlangsung kelihatan teman sebiliknya agak merindui Quilty. Untuk info, Quilty masih mencari keluarga angkat untuk memeliharanya.