Seramai 17,000 Pemandu e-Hailing Gagal Baharui Cukai Jalan

Seramai 17,000 pemandu e-hailing seluruh negara yang menggunakan kenderaan orang lain gagal memperbaharui cukai jalan sejak sebulan lalu.

Pengerusi Pertubuhan Pemandu Berasaskan Aplikasi Elektronik Malaysia (PPBAEM), Catherine Yee Kar Ting berkata perkara itu menyebabkan pemandu terlibat kehilangan mata pencarian.

PPBAEM menerima maklum balas daripada ahli dan pemandu e-hailing lain bahawa mereka yang menggunakan kenderaan milik orang lain sama ada isteri, anak dan sebagainya tidak dapat membaharui cukai jalan sejak sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Catherine berkata meskipun perkara itu dibangkitkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masih tiada tindakan diambil sehingga kini.

Semakan kami dengan pihak syarikat e-hailing, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan JPJ menjuruskan isu ini di bawah bidang kuasa pihak JPJ dan sehingga kini pihak JPJ tidak dapat mengatasinya,” katanya.

Beliau memohon pihak berkaitan segera mengambil tindakan supaya masalah tersebut dapat diatasi.

Kami mohon tindakan segera supaya kekangan dihadapi pemandu e-hailing ditangani serta-merta bagi membolehkan semua pemandu yang lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) dan kenderaan diluluskan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.”

Peraturan-peraturan kawal selia perkhidmatan e-hailing ini harus disemak,” katanya.