Kes tular samun guna kad ada senjata adalah kes lama – PDRM

POLIS mengesahkan dakwaan tular mengenai kegiatan samun menggunakan senjata yang disembunyikan di sebalik kad nama adalah bukan kes yang baharu sebaliknya berlaku pada 2014.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan urus setia Ketua Polis Negara, berita yang tular di media sosial itu telah disebarkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kejadian samun menggunakan modus operandi sedemikian.

“Mangsa wanita yang cedera seperti gambar yang disebarkan adalah kes yang berlainan manakala gambar lelaki cedera merupakan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara,” katanya memetik kenyataan itu.

Dakwaan mengenai kegiatan samun yang ditularkan semula itu menyatakan terdapat individu yang akan mengetuk cermin kenderaan sambil membawa kad nama mempunyai peralatan tajam sebelum melakukan samun.

Mesej yang tular itu turut memaparkan gambar mangsa yang cedera akibat serangan berkenaan.

Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran berita palsu dan tidak ditentukan kesahihannya.