Mummy Jerung mengganas dengan Akulah Jerung Merah!

PUNYAI jiwa yang kental, hati yang tabah dan semangat yang sangat berani, cita-cita jitu usahawan wanita muda berjaya yang berasal dari Marang, Terengganu, yang turut popular dengan julukan ‘Mummy Jerung’ ini untuk terjun ke bidang nyanyian akhirnya menjadi kenyataan.

“Ramai yang tak percaya pada mulanya, akhirnya berkat kesabaran dan kesungguhan dalam bidang perniagaan, dapat juga saya hadir dengan single sendiri,” katanya

Sofiaa Marieylla atau lebih terkenal dengan sapaan Mummy Jerung Merah, 24, yang mempunyai seramai hampir sejuta pengikut dan lebih daripada 17 juta sukaan di laman TikTok, kini boleh berbangga apabila beliau disunting secara rasmi menjadi artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

Single yang berjudul ‘Akulah Jerung Merah’ hasil ciptaan komposer berpengalaman, Hadi Rumnan dan penulis lirik berbakat, Ajim Maze merupakan taruhan pertama buat Sofiaa sebagai penyanyi.

“Tagline Skuad Jerung Merah yang merupakan sebahagian daripada gimik pemasaran” – Sofiaa Marieylla

“Umum yang semua ketahui, tagline Skuad Jerung Merah yang merupakan sebahagian daripada gimik pemasaran perniagaan saya di media sosial sangat sinonim dengan saya, sehinggalah video-video tersebut menjadi viral di TikTok dan disebut-sebut masyarakat Malaysia.

“Dan tak disangka-sangka, rupa-rupanya pihak Rocketfuel berkenan menjadikan saya sebagai artis rakaman dan saya terima pelawaan tersebut dengan hati yang terbuka kerana inilah peluang keemasan yang saya nanti-nantikan selama ini,” jelasnya.

‘Akulah Jerung Merah’ merupakan sebuah lagu bergenre pop rancak Kemelayuan yang santai dengan ritma yang catchy bagi menambat hati para pendengar. Manakala bait-bait korusnya senang diingati dan pasti menjadi siulan anak-anak remaja dengan jalan ceritanya yang menghiburkan.

“Jalan cerita lagu ni simple je, ia mengenai Mummy Jerung iaitu saya sendiri yang melalui proses percintaan bersama seorang pemuda dengan pengakhiran yang bahagia, kiranya sehingga ke jinjang pelamin.

“Saya juga amat teruja dan terkejut di mana proses rakaman lagu serta pembikinan video muzik (MV) dapat disiapkan dalam beberapa hari saja oleh pihak Rocketfuel yang sangat profesional. Memangseronok bekerja dengan team Rocketfuel!,” tambahnya.

Akulah Jerung Merah mendapat sentuhan komposer berpengalaman, Hadi Rumnan

Jerung Merah merupakan signifikasi yang ingin Sofiaa tonjolkan selain menjadi sebahagian daripada teknik pemasaran yang dijalankannya. Beliau juga ingin dikenali sebagai ‘Mummy Jerung’ dan ingin mengumpul lebih ramai lagi ‘anak-anak’ Jerung melalui Skuad Jerung Merah yang ditubuhkannya beberapa tahun yang lalu.

“Ramai yang nak tau, kenapa Jerung Merah? Jawapannya mudah, sebab jerung kan suka ngappp! Dan Jerung Merah ialah Sofia Marieylla sendiri,” katanya lagi.

Lagu ‘Akulah Jerung Merah’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube RocketFuel Network.