Kereta tersadai, geng longkai ambil kesempatan kaut keuntungan!

DALAM situasi banjir yang melanda di beberapa kawasan, ternyata ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan masa sukar ini untuk mengambil kesempatan.

Ini selepas beberapa buah kenderaan yang dalam keadaan bersepah di sekitar jalan raya akibat tersadai disebabkan banjir.

Perkara yang dimaksudkan itu merujuk kepada tindakan ‘geng ulat bengkel’ yang merebut masa ketika ini apabila bertindak menarik kenderaan tanpa pengetahuan pemiliknya.

Menurut pemilik kenderaan Honda City, kenderaannya dibawa naik ke atas lori namun rezeki memihak kepadanya apabila sempat untuk menghalang perbuatan tersebut.

Lebih buruk, nombor pendaftaran kenderaan juga telah dicabut bagi mengelakkan perbuatan itu dikesan pemilik kenderaan.

Ini merupakan cara mudah bagi kumpulan longkai untuk memperoleh keuntungan dalam situasi kenderaan yang kebanyakannya masih tersadai di sekitar jalan raya.

Kejadian yang tular di media sosial itu membuatkan netizen menuntut pemantauan secara proaktif oleh pihak berkuasa selain memohon tindakan tegas diambil terhadap si pelaku yang cuba mengaut keuntungan mudah.