Banjir Sri Muda semakin pulih, air mula surut

USAHA mengeluarkan air banjir di kawasan Sri Muda, Shah Alam kelihatan lancar walaupun cuaca kembali hujan sejak malam semalam.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, paras air di kawasan tersebut kini kelihatan semakin pulih.

“Pagi tadi dah surut juga walaupun hujan pukul 4 pagi,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi semasa perkembangan banjir di kawasan Sri Muda.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad memaklumkan lebih 80 peratus air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam telah disedut keluar dan dilepaskan ke Sungai Klang.

“Jika 80 peratus boleh selesai dalam 17 jam dan baki 20 peratus lagi ikut logik esok pagi boleh diselesaikan jika tidak hujan,” katanya.

Usaha memulihkan keadaan di Sri Muda termasuk dengan kerja-kerja menebuk benteng bagi memastikan air yang bertakung dapat mengalir keluar dari kawasan tersebut.