Kecil lagi dah hisap vape! Apa nak jadi budak sekarang!

SEJAK kebelakangan ini, tabiat menghisap rokok elektronik atau vape dikesan turut menular dalam kalangan kanak-kanak susulan video tular dua kanak-kanak tempatan menghisap peranti itu sejak beberapa hari lalu

Melalui video tular itu, seorang kanak-kanak memakai baju-T putih terlebih dahulu dilihat menghisap rokok elektronik berwarna merah jambu sebelum menghembuskan asap.

Kemudian, kanak-kanak itu menyerahkan vape kepada seorang lagi rakannya yang memakai baju kelabu.

Individu yang merakam video berkenaan bertanya di mana kanak-kanak terbabit membeli vape itu sebelum salah seorang kanak-kanak terbabit mendakwa membeli vape itu pada harga RM500 daripada hasil mengumpul duit.

Kanak-kanak terbabit kemudian berulang kali menghisap vape sambil memberi alasan ‘daripada hisap rokok lebih baik hisap vape.’

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed turut melahirkan rasa bimbang apabila gejala menghisap vape semakin diterima masyarakat dan mula ‘berjangkit’ kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, kajian dan tinjauan Tembakau dan Rokok Elektronik dalam kalangan Remaja Malaysia (TECMA) dilakukan sebelum ini mendapati 19.1 peratus remaja berusia 10 hingga 19 tahun pernah menggunakan rokok elektronik.

“Lebih membimbangkan lagi, 46.5 peratus daripada mereka mencuba rokok elektronik buat pertama kali sebelum usia 14 tahun”, katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, “Sebanyak 10.6 peratus daripada mereka melaporkan pernah ditawarkan rokok elektronik manakala 7.9 peratus ditawarkan cecair untuk rokok elektronik secara percuma”.

Promosi rokok elektronik begitu berleluasa melalui media sosial, internet, kedai vape dan sebagainya sekaligus meningkatkan lagi risiko remaja mencuba lalu menjadi penagih vape atau nikotin.

Beliau yang juga Prinsipal Akademi Farmasi Malaysia berkata, hampir semua perisa vape yang digunakan pengguna alatan itu mengandungi nikotin, iaitu bahan kawalan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 di mana ia sepatutnya hanya boleh dijual pengamal perubatan berdaftar seperti ahli farmasi ataupun doktor.

Jelasnya, “Wap yang dihasilkan daripada aktiviti ‘vaping’ tidak kira sama ada daripada perisa yang mengandungi nikotin atau tidak, boleh memberi kesan tidak elok kepada kesihatan dan ketidakselesaan kepada orang-ramai”.

Tambahnya, belum ada bukti kukuh daripada kajian yang berkualiti tinggi bagi menyokong penggunaan rokok elektronik khasnya bagi tujuan membantu perokok berhenti.

Selain itu, negara-negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Brunei sejak awal telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik (vape) atas sebab kesihatan.

Sumber: Harian Metro