Peningkatan kes COVID-19 disebabkan pergerakan semasa Ramadan dan Aidilfitri – Dr Adham Baba

LONJAKAN kes COVID-19 yang berlaku daripada kluster keagamaan adalah berikutan pergerakan orang ramai pada sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi pertambahan 40 kluster keagamaan yang dilaporkan semalam.

“Daripada 40 kluster keagamaan yang dilaporkan, 19 kluster di Johor, Selangor 13 dan lapan kluster di negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan serta Kelantan.

“Peningkatan kes tersebut adalah berdasarkan kes jangkitan yang berlaku sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya ketika sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Selasa.

Tambahnya, kadar peningkatan tersebut adalah bergantung kepada tahap pergerakan orang ramai sepanjang bulan tersebut.

Jelas Dr Adham, sekiranya orang ramai mampu mengurangkan mobilisasi maka peluang yang lebih untuk hidup dapat dicapai termasuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan dan membendung wabak COVID-19.

Sementara itu, Malaysia hari ini telah merekodkan sebanyak 7,289 kes baharu COVID1-9 yang membawa kepada jumlah kes keseluruhan sebanyak 525,889 kes.