Gadis nekad jual motosikal bapa untuk jumpa kekasih dalam talian, namun tak sangka ini yang terjadi akhirnya…


TULAR sebuah video di media sosial apabila seorang gadis yang ‘terkandas’ di lapangan terbang dan merasa bersalah untuk bertemu dengan rakan yang dikenali melalui permainan atas talian.

Kejadian yang berlaku pada 8 Jun lalu di Jambi, Indonesia itu telah mengejutkan warganet apabila gadis itu dipercayai telah menjual motosikal bapanya dan memperoleh Rp 20 juta (RM5,771) semata ingin berjumpa dengan rakan lelakinya yang berada di Jakarta.

Difahamkan, gadis berkenaan nekad bertindak sedemikian untuk membiayai perjalanannya dengan menaiki kapal terbang. Namun, mula ragu dengan apa yang dilakukan selepas terfikir mengenai ibu dan bapanya.

Sementelahan, dia kebingungan dan menangis sehingga disapa oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Monik.

Selain itu, gadis tersebut dipercayai memberontak dan nekad untuk berjumpa lelaki dikenalinya tetapi tidak meneruskan niat tersebut selepas keluarganya mengetahui perkara tersebut melalui video tular berkenaan.

Jelas Monik, sebenarnya gadis tersebut begitu keras ingin ke Jakarta tetapi mujur video tersebut tular dan pihak keluarganya dari Desa Tangkit datang menjemput.

Bukan sekadar itu, malah guru sekolah gadis berkenaan juga secara kebetulan berada di lapangan terbang dan akhirnya dia membatalkan hasrat untuk pergi ke Jakarta.

Sementara itu, Pengurus Besar Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi, Agus Supriyanto mengesahkan bahawa remaja itu merupakan penumpang yang sepatutnya berlepas pada Selasa.

Merasa curiga terhadap gadis itu, Agus juga telah membatalkan penerbangannya kerana dia kelihatan bingung dan tidak mempunyai penjaga.