Polis sahkan All Together Now Malaysia adalah rakaman lama, tidak akan ada siasatan dibuat

POLIS tidak akan membuka kertas siasatan kepada selebriti dalam program realiti televisyen, All Together Now Malaysia (ATNMY) terbitan Astro yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan dibuat selepas mendapati rakaman program tersebut dibuat sebelum arahan PKP 3.0 berkuatkuasa.

“Rakaman sewaktu tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) itu difahamkan telah mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) jadi untuk sebarang perkembangan boleh rujuk dengan mereka”, kata Mohd. Fadzil kepada portal Kosmo Online.

Pada 8 Jun, pihak penerbitan ATNMY membuat keputusan untuk menghentikan sementara program berkenaan bagi membolehkan siasatan terhadap dakwaan berlaku pelanggaran SOP sepeti didakwa.

Sehubungan itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan PKP3.0.

ATNMY menjadi perbincangan di media sosial ekoran terdapat segelintir netizen tidak berpuas hati program itu ditayangkan ketika krisis Covid 19 masih melanda negara.

Terdahulu, program itu ditayangkan pada pukul 9 malam setiap Ahad, diadaptasi daripada format rancangan popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom.

Sumber: Awani