Durian runtuh penjual pisang ‘cheese’, video ‘biasa’ senget kepala naikkan jualan mendadak!

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Selepas dengan video ‘biasa’ di laman TikTok, seorang peniaga yang dikenali sebagai Abdul Adib kini meraih populariti dan perhatian ramai untuk mencuba makanan hasil tangan pemuda tersebut.

Pemuda yang mengusahakan bisnes jualan pisang ‘cheese’ itu tidak menyangka yang video ‘live’ yang dikongsi di laman media sosial TikTok miliknya menjadi asbab dia meraih rezeki yang berlipat ganda.

Jualan pisang goreng ‘cheese’ yang diusahakan di bawah jenama Banana Dibs itu dikatakan meningkat dua kali ganda, daripada 30 kilogram (kg) pisang kepada hampir 70kg sehari.

Sumber gambar – Instagram Banana Dibs

Adib yang juga merupakan seorang pelajar di Melaka telah dua tahun mengusahakan pisang ‘cheese’ ketika pandemik Covid-19 melanda sehinggakan impiannya menjadi juruterbang terpaksa ditangguhkan.

“Masa COVID-19 saya dapat bantuan RM500 daripada kerajaan dan 100 peratus daripada wang yang saya peroleh itu saya gunakan untuk memulakan perniagaan ini.”, kata Adib yang menumpang tapak kedai makan keluarganya di Kajang untuk berniaga.

“Dengan bantuan RM500 itu, saya buat modal untuk membeli pisang. Alhamdulillah, hari ini modal semakin besar, Fokus saya buat masa ini adalah untuk mengembangkan lagi perniagaan saya.”, ujar Adib yang masih lagi menantikan tawaran untuk menjadi juruterbang, lapor Astro Awani.

Sumber gambar – Instagram Banana Dibs

Adib yang bercadang untuk menambah bilangan pekerja untuk membantunya mengusahakan bisnesnya itu juga telah berusaha mempelajari cara pembuatan ‘topping’ berperisa caramel dan butterscotch dari kawannya yang merupakan seorang pelajar kulinari.

Selain dari kelazatan ‘topping’ yang ditawarkan, kerangupan pisang ‘cheese’ yang dijual juga mendapat pujian daripada pembeli.

Sumber gambar tajuk artikel – TikTok Banana Dibs | Sumber laporan – Astro Awani