‘SWIPE’ berjaya cetus fenomena, ALYPH pertaruh ‘CHECK’ pula!

SELEPAS mencipta fenomena dengan ‘SWIPE’, penyanyi dan ‘producer’ rap terkenal, ALYPH kembali menyerikan industri muzik dengan single berjudul ‘CHECK’.

Karya yang ditulis, diterbit dan dipersembahkan sendiri oleh bintang HipHop yang berasal dari Singapura itu, dilancarkan di semua platform digital di bawah Def Jam South East Asia. ‘CHECK’ dihasilkan dengan harapan untuk mengingatkan orang ramai untuk sentiasa ‘check’ diri sendiri dan persekitaran.

“Untuk melaksanakannya bukanlah dengan menetapkan segalanya di dalam ‘kepala’ sendiri, tapi anda juga harus memastikan persekitaran, tenaga dan orang di sekeliling anda sama-sama searah dan sependapat”, kata ALYPH kepada The News.

Dengan rentak Trap yang bernuansa kelam namun kemas, ALYPH berkongsi senarai semakan mental yang memastikan fikirannya sentiasa berada di tempat yang betul.

Lagu ini juga dikatakan menjadi peringatan untuk dirinya sendiri bahawa risiko itu sentiasa ada di mana jua tak kira waktu, jadi dia tidak boleh tersilap langkah.

“Kini saya hanya bekerja keras untuk menyiapkan sebanyak lagu yang sempat dengan setiap peluang yang ada.” kata ALYPH.

“Karya-karya saya lebih konsisten sekarang dan saya harap ia akan membawa kepada sebuah projek di hujungnya. Saya perlu membina katalog saya sendiri, ia memerlukan kerja yang banyak,” tambahnya.

ALYPH yang juga dikenali sebagai seorang ‘producer’ yang mahir memilih bakat untuk bekerjasama dalam setiap projeknya kini membuat keputusan untuk lebih fokus menerbitkan lagu untuk dirinya sendiri.

Keputusan ini terbukti berjaya menampilkan sisi terbaiknya selain mengasah lagi bakatnya dalam pembikinan lagu.