Buat baik dibalas baik, Abang Viva dapat motosikal berkuasa tinggi!

BUAT baik dibalas baik, itu antara kapsyen yang ditulis dalam sebuah posting memaparkan ‘Abang Viva’ menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Motosikal bernilai kira-kira RM39,000 itu dikatakan merupakan hadiah daripada seorang individu jasanya membantu mangsa banjir baru-baru ini.

Abang Viva atau nama sebenar, Azwan Omar 30, telah menerima sebuah jentera jenis Yamaha XJ6 Diversion.

Sebagai penghargaan terhadap usaha murni itu, pihak kedai motosikal terkenal itu turut menaja beberapa aksesori antaranya adalah topi keledar, jaket dan beg untuk Azwan.

Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai berasa gembira kerana Azwan menerima rezeki yang tanpa diduga.

“Memang rezeki tidak salah alamat. Alhamdulillah rezeki Allah macam-macam bentuk untuk kita semua,” jelas @Wanboss.

“Semoga dimurahkan rezeki kepada orang yang hadiahkan Abang Viva kita ini,” kata @KamalrudinZulkifli. 

Terdahulu, Azwan menjadi bualan ramai apabila sanggup memandu kereta Perodua Viva yang dipinjamnya bersama sebuah bot ke kawasan banjir di Shah Alam, Pahang dan Melaka bagi menjayakan misi bantuan.

Sumber: Kosmo